Program Hentikan Rabies di Samarahan 27–28 Julai ini

Florince (duduk tengah) pada sidang media di Samarahan hari ini (16 Julai 2024).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 16 Julai: Pemilik haiwan peliharaan di sekitar Samarahan, Asajaya dan Sadong Jaya dinasihat membawa anjing mereka ke Dewan Perpaduan Stakan Taman Samarindah pada 27 dan 28 Julai ini bagi mendapatkan vaksin antirabies.

Kaunselor Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dr Florince Christy berkata, Program Hentikan Rabies yang diadakan selama dua hari itu juga merangkumi pelesenan, memasang mikro chip dan pemandulan atau ‘neuter’ terhadap anjing.

Advertisement

Katanya, dalam usaha mengalakan pemilik mendapatkan lesen bagi anjing mereka, MPKS menawarkan beberapa insentif.

“Insentifnya ialah baucer diskaun RM10 bagi lesen, subsidi RM150 bagi ‘neuter’ dan ini diberikan kepada 100 anjing (memiliki lesen) pertama.

“Menerusi insentif ini, kadar bayaran lesen anjing ditetapkan RM10 bagi yang sudah dineuter dan RM30 bagi yang tidak,” kata Florince di sidang media di MPKS hari ini.

Tambah beliau, vaksinasi dan pelesenan adalah perkara penting dalam memastikan keselamatan keseluruhan masyarakat.

Justeru, jelas Florince, MPKS komited untuk menjadikan Kota Samarahan sebagai zon bebas rabies.

Bagi menyokong Program Hentikan Rabies, MPKS turut memganjurkan “Pertandingan Poster Hentikan Rabies” bagi murid-murid sekolah rendah.

Tarikh akhir bagi murid-murid menghantar hasil lukisan mereka adalah pada 25 Julai ini jam 4 petang.

Borang penyertaan boleh diambil dari laman sesawang MPKS, Facebook dan Perpustakaan MPKS.

Hadiah bagi tempat pertama RM120, kedua (RM80), ketiga (RM50) termasuk 30 hadiah saguhati yang menerima trofi dan sijil.

Program Hentikan Rabies dianjur dengan kerjasama Boehringer Ingelheim, Jabatan Veterinar Sarawak.

Turut terlibat Jabatan Kesihatan Samarahan, Pejabat Daerah Samarahan, Sarawak Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SSPCA), KRT Taman Samarindah Baru dan KRT Taman Samarindah Lama. — DayakDaily

Advertisement