Program anak asuh kukuhkan hubungan TNI-AD dan TDM

Kelihatan peserta yang mengikuti program anak asuh.

KUCHING, Julai 8: Program pertukaran anak asuh di antara KODAM XII/TPR dengan Markas 1 Divisyen telah diadakan pada Julai 1 hingga 7 lalu.

Program seumpama merupakan salah satu aktiviti bilateral yang diadakan secara timbal balas setiap di antara Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) dengan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Program ini telah bermula sejak tahun 2005 dengan penganjuran kali ini di Kuching adalah kali ke-10.


Kali terakhir program ini dianjurkan adalah pada tahun 2016 di Pontianak, Indonesia dan tahun ini giliran Markas 1 Divisyen menjadi penganjur untuk program sama.

Jurucakap Markas 1 Divisyen berkata, program itu juga merupakan kesinambungan kepada perjanjian kerjasama dua hala angkatan tentera dua negara terbabit.

Kata jurucakap sama, program itu turut dipanjangkan kepada kerjasama silaturrahim antara persatuan isteri-isteri perajurit dan kepada anak-anak terutama sebagai usaha memantap dan bagi memperkukuhkan tahap keyakinan dan saling menghormati di antara negara.

“Program pada tahun ini melibatkan anak-anak anggota TNI-AD seramai 20 orang diiringi oleh lima orang pegawai dan staf dari KODAM XII/TPR yang berpangkalan di Pontianak, Kalimantan Barat.

“Objektif utama aktiviti ini adalah bagi memupuk semangat perpaduan dan silaturrahim di antara dua negara di kalangan anak asuh yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” kata jurucakap Markas 1 Divisyen di sini hari ini.

Kelihatan peserta yang mengikuti program anak asuh.

Jurucakap sama menambah, aturcara untuk program anak asuh banyak melibatkan lawatan sambil belajar di sekitar Kuching.

Kata jurucakap itu, lawatan telah dilakukan ke Kampung Budaya, Muzium Borneo 3D, sekolah-sekolah kerajaan serta pelbagai tempat lain bagi memberi pendedahan kepada peserta tentang kepelbagaian etnik dan budaya di negara ini.

“Program ini juga berupaya menanamkan sifat kerjasama, toleransi serta memupuk disiplin di kalangan anak asuh,” ujarnya. — DayakDaily