Niat jahat curi buah longan bawa padah, lelaki ditahan

Pihak berkuasa menemui basikal, beg pinggang milik suspek dan buah longan yang dicuri.

MIRI, Julai 8: Niat jahat seorang lelaki untuk mencuri buah longan segar membawa padah apabila dia diberkas di sebuah rumah di Jalan Acacia di sini awal pagi ini.

Suspek yang berusia 20-an diberkas oleh anggota Jawatankuasa Keselamatan Penduduk (JKP) Miri kira-kira pukul 2 pagi.

Menurut sumber, sebelum itu, pemilik kediaman berkenaan telah menyedari kehadiran suspek yang kelihatan cuba mencuri buah longan di situ.


Kata sumber, pemilik rumah tersebut kemudian menghubungi anggota JKP Miri untuk tindakan selanjutnya.

“Apabila menyedari kehadiran anggota JKP Miri suspek kemudian bertempiaran lari meninggalkan bungkusan plastik berisi buah longan yang dicuri dari rumah pengadu.

“Pemeriksaan lanjut menemui basikal dan beg pinggang milik suspek yang turut mengandungi butiran peribadi suspek.

“Lebih menarik turut ditemui dalam beg pinggang suspek ialah sijil berhenti sekolah milik suspek berkenaan,” katanya hari ini.

Tambah sumber, anggota JKP Miri kemudian mengesan suspek menerusi dokumen identiti yang ditemui dalam beg pinggang lelaki berkenaan.

“Tidak lama selepas itu, suspek kemudian ditahan untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. — DayakDaily