Pro Reformis 98 Sarawak menyeru agar tindakan disiplin diambil terhadap Azmin

Iswardy (dua kiri) bersama Ahli Parliamen Miri Dr Michael Teo (tiga kiri) dan ahli-ahli Pro Reformasi 98 Sarawak merentang sepanduk menunjukkan sokongan padu terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim.

KUCHING, 30 Julai: Pro Reformis 98 Sarawak menyeru agar Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan disiplin terhadap Timbalan Presiden parti tersebut Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali yang disifatkan sebagai ‘lebih sudu dari kuah’.

Menurut pengerusi Iswardy Morni, tindakan Azmin menggunakan rundingan pintu belakang ternyata tidak memberi kesan positif persepsi rakyat terhadap kerajaan, malah memburukkan iklim politik negara setelah perjanjian peralihan kuasa telah pun dimuktamadkan sebelum Pakatan Harapan berkuasa.

“Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali juga telah melampaui bidang kuasanya sebagai Timbalan Presiden parti dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang menyanggah keputusan Pakatan Harapan sedangkan isu peralihan kuasa antara YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah dimuktamadkan secara konsensus oleh keempat-empat parti pada 7 Januari 2018.


“Ini menimbulkan keresahan yang teramat sangat di kalangan pemimpin komponen Pakatan Harapan kerana proses peralihan kuasa antara YAB Perdana Menteri kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim pasti akan berlaku bila tiba masanya dalam tempoh dua tahun sejak Pakatan Harapan menguasai Putrajaya pada 10 Mei 2018.

“(Oleh itu)….Kami menuntut Lembaga Disiplin parti supaya mengambil tindakan disiplin segera ke atas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan sesetengah pimpinan tertinggi parti selaras dengan undang-undang dan perlembagaan parti yang berkaitan,” kata Iswardy dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambahnya lagi, setelah lebih lapan bulan Pemilihan PKR 2018 berlangsung, Pro Reformis 98 Sarawak berpandangan, masalah berkenaan berpunca daripada keengganan sesetengah pimpinan tertinggi parti di Sarawak dan di peringkat MPP mematuhi perlembagaan dan fasal-fasal yang telah digariskan dalam menentukan perjalanan parti berjalan lancar.

“Walaupun Timbalan President Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan pasukannya memenangi jawatan masing-masing dalam pemilihan parti, kenyataan daripada Setiausaha Agung, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail berkenaan rekod kehadiran mesyuarat Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali amat-amat mendukacitakan.

“Perkara paling asas dalam sesebuah organisasi telah dikhianati oleh Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sendiri secara sedar atau tidak. Dalam mana-mana pertubuhan siasah, kehadiran mesyuarat amat penting bagi memutuskan dasar dan hala tuju dapat dilakukan dengan lancar dan berkesan. Kenyataan Setiausaha Agung parti yang menyebut kehadiran Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ‘kosong’ sama ada mesyuarat Biro Politik mahupun MPP tidak seharusnya berlaku jika beliau mengambil sikap bertanggungjawab dan mengambil serius terhadap peranan besar yang disandangnya sejak 17 November 2018.

“Pro Reformis 98 Sarawak juga menyatakan rasa amat kesal dan kecewa terhadap sikap acuh tidak acuh beliau dan sesetengah pimpinan Biro Politik dan MPP yang tidak hadir mesyuarat rasmi parti seolah-olah jawatan yang mereka menangi daripada mandat ahli-ahli parti seluruh negara disia-siakan tanpa membantu memperkukuhkan parti sebagai tunjang utama kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan.

“Pro Reformis 98 berpendapat, sekiranya Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan pimpinan tertinggi parti tidak hadir pada mesyuarat yang terlebih dahulu dimaklumkan dan tidak berminat untuk hadir tanpa sebab munasabah sejak lapan bulan lalu, beliau dan sesetengah pimpinan parti seharusnya meletakkan jawatan secara terhormat dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan pengganti yang lebih layak menggalas tugas yang akan diamanahkan,” kata Iswardy.

Sementara itu, Iswady berkata Kehadiran Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku pemimpin tertinggi parti ke Sarawak disambut amat dingin oleh pemimpin Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak baru-baru ini menunjukkan seolah-olah kehadiran mereka berdua tidak dihormati pimpinan negeri dengan sewajarnya.

“Adakah wajar pimpinan parti negeri berbuat demikian sedangkan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat parti dan Presiden parti merupakan tonggak kekuatan parti termasuk di Sarawak?,” tanya beliau.

Justeru, beliau berkata Pro Reformis 98 Sarawak menzahirkan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Anwar bagi menyelesaikan masalah disiplin yang ditimbulkan oleh Azmin Ali dan sesetengah pimpinan tertinggi parti secara teratur dan berkesan. — DayakDaily