PRN12 buktikan politik berunsur hasutan dan perkauman ditolak rakyat, kata Nanta

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 20 Dis: Keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) membuktikan bahawa politik berunsur hasutan dan perkauman sememangnya ditolak oleh rakyat, kata Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, ini berdasarkan mandat yang diberikan kepada GPS untuk terus menerajui penggal baharu pentadbiran dengan penguasaan jumlah kerusi lebih besar berbanding PRN11.

Menurut beliau, kepercayaan rakyat terhadap GPS dalam merintis siri pembaharuan dan kemajuan yang lebih pesat tidak pernah luntur, sekali gus menjadi asas momentum kemenangan di 76 daripada 82 kerusi yang ditandingi.

“Lebih signifikan apabila PRN12 kali ini mengutarakan ‘suara’ jelas pengundi bahawa pendekatan parti pembangkang, iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB), DAP dan PKR untuk memancing undi rakyat dilihat seakan ‘senjata makan tuan’.

“Ini dibuktikan benar apabila DAP hanya mampu memenangi dua kerusi DUN sahaja daripada 26 kerusi yang ditandingi, dengan majoriti yang jauh kurang dari PRN11 pada 2016.

“DAP hilang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, berbanding tujuh kerusi yang mereka kuasai pada PRN11,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru tambah Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, peralihan sokongan pengundi yang kembali ke pangkuan GPS mencerminkan bahawa prestasi DAP di kawasan DUN berkenaan jelas hambar.

Ujar beliau, kerajaan negeri tidak pernah mengamalkan sikap ‘pilih kasih’ dalam merintis pembangunan di sesuatu kawasan.

“Kemenangan diraih GPS amat membanggakan dan memuaskan, walaupun kita telah dicabar dengan begitu kuat sekali oleh parti tempatan, iaitu PSB, selain DAP dan PKR.

“Sekiranya diteliti kembali isyarat yang diterjemahkan di peti undi, ia jelas bahawa meskipun pelbagai isu dan tuduhan yang dilemparkan kepada GPS, rakyat masih berpegang kepada asas kepercayaan mereka terhadap kerajaan.

“Sudah tentu perjuangan untuk kepentingan Sarawak tidak pernah lekang daripada keutamaan kami, sama ada membabitkan usaha merintis pembangunan di kawasan pedalaman menerusi agensi pembangunan luar bandar yang ditubuhkan atau di kawasan bandar,” ujar Nanta yang juga MP Kapit.

Sementara itu katanya, kerajaan juga salurkan peruntukan untuk membiayai pelbagai program dan meningkatkan tahap pelaksanaan kerajaan negeri menerusi revolusi industri di Sarawak.

Katanya lagi, kerajaan fokus apa yang kita boleh jangka pada masa depan dan IR4.0, kecerdasan buatan, internet kebendaan dan pelbagai lagi untuk manfaat golongan muda.

Kerajaan tambah Nanta giat merintis pelbagai kemajuan tetapi sememangnya ada banyak ruang untuk tujuan penambahbaikan dan GPS ingin berikan perkhidmatan terbaik.

“Sebelum ini, ramai beranggapan bahawa golongan muda mungkin menolak GPS dalam PRN Sarawak kali ini, tetapi sangkaan itu ternyata meleset.

“Helah DAP yang sering mengaitkan GPS, kononnya bersekongkol dengan parti di Semenanjung Malaysia, iaitu PAS dengan mengamalkan politik esktrem amat tidak berasas.

“Malah, rakyat sudah beri mesej jelas dengan tidak mempercayai dakwaan dangkal seperti ini,” katanya. — DayakDaily