PRN: Calon wanita jangan dikurang, lebih boleh – Fatimah

Fatimah (duduk tengah) bersama pemimpin Wanita PBB yang lain pada mesyuarat di ibupejabat PBB di Jalan Bako, Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Jun: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu jumlah calon wanita dikekal atau ditambah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Ketuanya, Datuk Seri Fatimah Abdullah, ia adalah harapan kepimpinan Wanita PBB.


“Harapan kita untuk pilihan raya negeri yang akan datang, dari segi bilangan calon wanita janganlah berkurang.

“Lebih boleh, inilah harapan kita tetapi yang penting ialah kita mesti menang,” kata Fatimah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB di sini, hari ini.

Mengulas berhubung mesyuarat tersebut, Fatimah berkata agenda utama ialah berkaitan dengan persiapan menghadapi PRN.

Katanya, Pergerakan Wanita kini harus merangka pelan baharu yang bersesuaian dengan situasi semasa dalam mempersiapkan jenteranya.

“Sebelum penularan Covid-19, jentera pilihanraya kita sudah berada di gear 3. Namun selepas itu, semua program yang telah dirancang terpaksa ditunda.

“Maka tidak banyak program yang dapat diteruskan disebabkan pergerakan yang terhad.

“Kita buat pelan baharu supaya apa yang kita telah rancang dahulu untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang dapat kita laksanakan walaupun selepas tiga bulan tidak dapat meneruskan perogram,” ujar beliau.

Wanita PBB kini diwakili empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri wanita, iaitu Fatimah (Dalat), Datuk Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali (Samariang), Simoi Peri (Lingga) dan Rosey Yunos (Bekenu).-DayakDaily