Priscilla Juara Cats Kumang Gawai Darlie

Pemenang CATS Kumang Gawai Darlie 2017. Foto - Facebook Priscilla John

KUCHING: Persoalan juara Cats Kumang Gawai  Darlie 2017 terjawab apabila Priscilla John Pillai diumumkan sebagai pemenang tempat pertama pertandingan itu semalam.

Anak muda berbangsa Iban itu membawa pulang hadiah utama tunai sebanyak RM2, 000.00 berserta trofi.

“Saya tidak menyangka akan memenangi pertandingan ini kerana peserta – peserta lain amat berbakat”


“Hadiah utama itu akan saya gunakan sebaik – baiknya serta untuk menampung perbelanjaan pengajian saya,” kata anak kelahiran Kuching ini kepada dayakdaily.com

Priscilla diapit oleh pemenang tempat kedua dan ketiga. Foto – Facebook Priscilla John

Priscilla turut memuji penganjuran pertandingan Cats Kumang Gawai Darlie kerana ianya dilihat sebagai satu landasan untuk mempromosikan budaya dan adat resam masyarakat Sarawak.

“Kita harus bangga dengan kekayaan budaya dan adat yang ada di negeri ini dan ia harus diperkenalkan kepada dunia luar,” tambahnya lagi.

Tempat kedua dan Anugerah Khas Miss Darlie Smile dimenangi oleh Balannie Sulan yang membawa pulang wang tunai RM 1,500 berserta trofi manakala pelajar berumur 23 tahun, Maria Madelina menduduki tempat ketiga.

Pertandingan tersebut menerima 150 penyertaan dari seluruh Sarawak dan 10 peserta telah berjaya memasuki pusingan akhir pertandingan tersebut yang diadakan di Summer Mall Kota Samarahan.

Pertandingan yang diadakan sempena perayaan Gawai Dayak ini dianjurkan oleh Catsfm dengan kerjasama Darlie. – dayakdaily.com