Oleh Chris Bishop
KUCHING, 13 Feb: Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Lina Soo hari ini mendakwa ada cubaan untuk merampas jawatannya dalam parti secara tidak sah.
Bercakap di satu sidang media di sini hari ini, Soo mendakwa tindakan tersebut dilakukan di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Aspirasi yang diadakan semalam di sebuah hotel di sini.
Katanya, mesyuarat yang dipengerusikan seorang individu dalam parti yang sama telah melantik presiden yang baharu.
“Mesyuarat berlangsung tanpa korum yang cukup, dan bila saya menyoal individu tersebut berhubung korum, dia mengarahkan saya untuk keluar dan tidak membenarkan saya menghadiri mesyuarat.
“Mesyuarat telah melanggar perlembagaan parti dan semua keputusan yang dibuat adalah tidak sah,” kata Soo.
Justeru, tambah beliau, satu laporan polis telah dibuat berhubung mesyuarat tersebut agar siasatan boleh dilakukan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Menurut Lina, mesyuarat semalam dihadiri sekitar 100 orang dan kebanyakan adalah bukan ahli parti.
Selain itu, mesyuarat juga telah memilih bukan ahli parti memegang jawatan penting Aspirasi.
“Saya juga telah memaklumkan kepada pihak ROS agar siasatan dilakukan kepada mesyuarat yang berlangsung semalam,” katanya.
Dalam pada itu, Soo berkata bahawa beliau masih presiden Aspirasi yang dipilih bagi penggal 2021 hingga 2026. — DayakDaily