Oleh Dean Adam
SERIAN, April 19: Sebuah premis perusahaan sarang burung walit di Taman Batu Gong, Batu 18, Jalan Kuching-Serian yang menjalankan operasi tanpa lesen telah diserbu semalam.
Jurucakap Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berkata operasi bersepadu sekitar pukul 10.30 pagi itu dilakukan oleh anggota penguatkuasa bersama Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, polis (PDRM), Majlis Daerah Serian dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).
Katanya, serbuan tersebut dilakukan selepas menerima aduan masyarakat setempat yang mendakwa bunyi bising yang mengganggu ketenteraman dan keselesaan mereka.
“Pasukan serbuan telah memeriksa premis tersebut dan mendapati ianya telah diubah suai mengikut perusahaan sarang burung walit. Semasa pemeriksaan itu, pemilik premis berkenaan gagal menunjukkan sebarang permit atau lesen berkenaan perusahaan sarang burung walit tersebut,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, pasukan serbuan juga bertindak merampas peralatan yang digunakan untuk memanggil burung walit di situ.
Katanya, antara barangan yan dirampas adalah termasuk 28 unit speaker dan 1 unit thermo meter.
“Rampasan ini dilakukan mengikut kesalahan di bawah Seksyen 33(2)(b) Wildlife Protection Ordinance 1998 (Chapter 26), iaitu membina rumah burung tanpa lesen atau permit dari ‘Controller of Wildlife’,” katanya. — DayakDaily