SMK Asajaya, Kolej Abdillah wakil Sarawak ke pertandingan ‘Young Maker Challenge’ kebangsaan

Pemenang-pemenang dalam gambar kenangan selepas pertandingan YMC peringkat negeri.

KUCHING, 19 April: Kumpulan Asagiant dari SMK Asajaya, Samarahan, dengan tajuk projek mereka “Pest Control and Arduino Watering System”, telah dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Young Maker Challenge 2019 yang diadakan di American Corner Pustaka Negeri Sarawak semalam.

Kumpulan Asagiant serta Kumpulan Expo Abdillah dari Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah yang memenangi tempat kedua akan mewakili Sarawak ke pertandingan Young Maker Challenge peringkat kebangsaan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, pada 2 Mei ini.

Selain kedua-dua sekolah terbabit, pertandingan Young Maker Challenge peringkat akhir negeri Sarawak turut menyaksikan penyertaan daripada SMK Kota Samarahan dan SMK Wira Penrissen.


Menurut ketua juri, Prof Madya Dr Hushairi Zen dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), kesemua projek yang dipersembahkan oleh peserta adalah sangat baik.

Namun projek yang dipilih memenangi pertandingan ini adalah projek yang mempunyai nilai komersial yang tinggi, tambahnya.

“Young Maker Challenge merupakan pertandingan rekacipta inovasi kreatif yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) sebagai penganjur utama dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dan disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Tujuan utama pertandingan ini adalah untuk memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik, terutamanya mereka yang dari latar belakang keluarga pendapatan rendah B40,” Unimas berkata dalam satu kenyataan media.

Pengarah projek Young Maker Challenge, Prof Madya Dr Kartinah Zen dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Unimas, dalam ucapannya merasa kagum dengan pencapaian semua kumpulan pelajar yang berusaha mempelajari teknik pengaturcaraan Arduino serta boleh menghasilkan projek mereka dalam tempoh tiga minggu sahaja.

Unimas merupakan rakan penganjur untuk pertandingan Young Maker Challenge peringkat negeri Sarawak yang turut disokong oleh Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Autoriti Multimedia Sarawak (SMA) dan Yayasan Sarawak. — DayakDaily