Premier Sarawak terima kunjungan hormat Timbalan Menteri Ekonomi

Abang Johari (lima kanan) menerima kunjungan hormat Hanifah (empat kiri) di Wisma Bapa Malaysia.

KUCHING, 19 Dis: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), kunjungan hormat itu bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada Premier Sarawak tentang Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Sistem ini berupaya memperkemaskan pelaksanaan pemberian bantuan kerajaan dengan lebih meluas dan menyeluruh.


“Saya memberikan maklumat tentang tujuan dan dari mana maklumat serta statistik yang membantu memberikan gambaran jelas supaya ia nanti akan memudahkan dari segi membuat pembetulan data-data kerana kita hendak memastikan data itu sentiasa dikemaskini.

“Kita telah memaklumkan kepada Premier Sarawak dan untuk mendapatkan keizinannya juga dari segi maklumat di bawah agensi dan Kementerian di Sarawak supaya ia dapat dikongsikan kepada Sistem PADU juga,” kata Hanifah.

Berhubung kaedah yang akan diguna pakai dalam pengagihan subsidi bersasar pula, Ahli Parlimen Mukah itu berkata, perkara tersebut masih dalam perbincangan.

Katanya, ia masih dalam perbincangan kerana kita hendak memastikan kaedah paling bersesuaian yang boleh merangkumi seluruh negara.

“Pada masa ini, belum ada kepastian kerana kita hendak lihat kaedah mana yang paling praktikal,” ujarnya lagi. — DayakDaily