Premier rasmi Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024 hari ini

Upacara menitik mata naga di Tebingan Kuching sempena Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024. Foto kredit: Ukas
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 26 Okt: Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024 bermula hari ini di Tebingan Kuching dengan majlis perasmian telah disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari hadir untuk melakukan upacara menitik mata naga sebagai simbolik perasmian.

Advertisement

Perlumbaan kali ini disertai lebih 2,000 peserta yang mewakili 61 pasukan dari 21 buah negara.

Abang Johari menyerahkan pendayung sebagai simbolik Perasmian Regatta Sarawak di Tebingan Kuching pada 26 Okt, 2024. Foto kredit: Ukas

Beliau turut merasmikan Festival Kraf Borneo (FKB) yang disertai seramai 112 usahawan sempena Regata Sarawak di Tebingan Kuching sehingga 3 November depan.

Program ini merupakan aktiviti jualan produk oleh usahawan kraf yang berdaftar di bawah Kraftangan Malaysia, dengan penyertaan diutamakan kepada usahawan dari Sarawak dan Sabah serta turut disertai oleh usahawan dari Semenanjung.

Usahawan yang dipilih merangkumi semua bidang kraf termasuk aneka kraf, tekstil, hasil rimba, hasil tanah dan hasil logam.

Antara peserta luar negara di Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa 2024 yang berlangsung di Tebingan Kuching pada 26 Okt, 2024. Foto kredit: Ukas

Acara kemuncak iaitu Regatta Sarawak 2024 pula akan bermula pada 1 hingga 3 November.

Perlumbaan akhir bagi merebut gelaran Juara Sungai dengan hadiah RM30, 000 akan diadakan pada 3 November.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan hadir menyaksikan perlumbaan pada 3 November 2024. — DayakDaily

Advertisement