Oleh Chris Bishop
KUCHING, 7 Julai: Sebanyak 236 syarikat telah mendaftar untuk menyertai program Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) sektor pembuatan dan perkilangan setakat ini.
Menurut Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, ia melibatkan sejumlah 43,050 pekerja di seluruh negeri.
“MINTRED berkerjasama rapat dengan pihak persatuan perniagaan untuk menarik sebanyak mungkin syarikat menyertai PPVIN.
“Beberapa persatuan perniagaan secara aktif menyokong program ini dan ia melibatkan 236 syarikat dengan 43,050 pekerja di seluruh negeri,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian pada sidang media selesai lawatan ke PPVIN di tHe Spring di sini hari ini.
Bagi kawasan di Samalaju di Bintulu katanya, sejumlah 9,260 pekerja telah menerima suntikan vaksin dos pertama dan bakal menerima dos kedua mulai 17 hingga 23 Julai nanti.
Manakala bagi kawasan Taman Teknologi Tinggi Samajaya di Kuching tambah Awang Tengah, sejumlah 11,127 pekerja telah menerima dos pertama dengan dos kedua akan diberi mulai 15 hingga 25 Julai nanti.
“Di Sibu, sejumlah 4,082 pekerja di sektor pembuatan dan perkilangan telah menerima suntikan dos pertama di PPVIN Kolej Teknologi Universiti Sarawak(UCTS) sejak 28 Jun lepas.
“Setakat 6 Julai 2021, sejumlah 24,469 pekerja dari sektor pembuatan dan perkilangan telah menerima suntikan dos pertama,” katanya.
Pada sidang media itu, Awang Tengah turut berkata mulai hari ini, sejumlah 5,478 lagi pekerja dari sektor ini akan menerima suntikan di beberapa PPVIN di Kuching, Miri dan Sibu.
Dalam pada itu, beliau berkata Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Sarawak telah meluluskan penubuhan 3 lagi ‘in-situ PPVIN’ iaitu dua di Bintulu dan satu Miri.
“Selain sektor pembuatan dan perkilangan, PPVIN juga dibuka untuk sektor perladangan, perkhidmatan, pembinaan serta sektor minyak dan gas.
“Ia adalah usaha kerajaan negeri untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin di negeri ini,’ kata Awang Tengah.
Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily