PPM rampas 20,000 liter diesel di Bintulu dan Limbang

Lori tangki yang didapati membawa 16,000 liter minyak diesel tanpa kebenaran.

BINTULU, 21 Ogos: Pasukan Polis  Marin (PPM) Wilayah Lima berjaya mengagalkan cubaan menyeleweng 20,000 liter minyak diesel dalam dua operasi berasingan pada Rabu lalu.

Komandernya ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata kejayaan pertama dilaporkan oleh PPM Bintulu di Jalan Bintulu-Bakun.

Katanya, dalam operasi Op Kontraban tersebut, pasukan serbuan telah menahan sebuah lori tangki untuk pemeriksaan.


“Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa muatan 16,000 liter diesel dan pemandunya gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran serta lesen daripada KPDNHEP.

“Tangkapan berserta rampasan telah dibuat dan diserahkan kepada KPDNHEP Bintulu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala kejayaan kedua pula dilaporkan di Limbang, di mana PPM Limbang telah merampas 4,000 liter minyak diesel di sebuah jeti feri.

Minyak diesel tersebut kemudian dirampas dan diserahkan kepada KPDNHEP Limbang.

Anggaran keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM163,000.

Kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. — DayakDaily