PPKS tawar kursus kemahiran untuk lepasan Tingkatan 3 dan 5

File photo for illustration purposes. ā€” DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING:, Jun 27: Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) mempelawa golongan lepasan sekolah menengah di negeri ini untuk mengikuti pelbagai kursus kemahiran yang ditawarkan pusat kemahiran berkenaan.

Pengarah Kampus PPKS Kuching, John Rizal Biki berkata, keutamaan akan diberikan kepada pelajar Tingkatan Tiga dan Lima dari isi rumah berpendapatan rendah dengan kelayakan sehingga tahap PT3.

Jelas beliau, kursus yang ditawarkan akan dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).


‘Ini adalah sejajar dengan usaha dan matlamat kerajaan untuk mengeluarkan modal insan serta sumber tenaga kerja yang berkelayakan.

“Ia juga bermatlamat untuk melahirkan generasi tenaga kerja yang berkemahiran dan cekap menerusi pembelajaran serta pembangunan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

John menambah, antara kursus yang ditawarkan ialah termasuk Pendingin Udara dan Penyejukbekuan, Reka Bentuk Grafik, Elektronik Industri dan kursus teknikal lain.

Katanya, PPKS juga menekankan komponen latihan praktikal bagi setiap kursus akan membolehkan para pelajar mendapat pemahaman yang lebih baik bagi persediaan dalam persekitaran kerja kelak.

“Bagi pelajar luar, kemudahan asrama di kampus disediakan pada kadar yang sangat berpatutan.

“Pendaftaran untuk pengambilan bulan Ogos tahun ini sedang berjalan.

“Ini akan menjadi satu peluang yang baik untuk golongan muda mengubah kehidupan mereka dengan meneruskan kursus berkaitan industri di PPKS,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program yang ditawarkan, sila hubungi talian 082-362086 atau 362129.

Pertanyaan juga boleh dihantar melalui WhatsApp (012-8789382) atau emel (info@ppks.edu.my). Maklumat juga boleh diperolehi dari laman web PPKS: www.ppks.edu.my. ā€” DayakDaily