Klinik Komuniti ganti Klinik 1Malaysia hujung tahun ini

Dr Dzulkefly Ahmad

KUCHING, Jun 27: Klinik 1Malaysia yang ditubuhkan sejak 2010 akan dijenamakan semula dan dikenali sebagai Klinik Komuniti menjelang hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan penjenamaan semula Klinik 1Malaysia itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai ini.

Katanya, kos penambahbaikan klinik itu (Klinik Komuniti) itu dijangka antara RM5 juta hingga RM10 juta setahun.


“Kos tersebut adalah berbanding pelaksanaan Klinik 1Malaysia yang hanya melibatkan kos sejumlah RM3 juta hingga RM4 juta dalam tempoh setahun.

“Kementerian ini juga akan melakukan kajian audit mengenai bilangan klinik tersebut di seluruh negara sama ada perlu dikurangkan atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Dzulkefly menambah, pihaknya juga akan menetapkan kemudahan serta prasarana yang ada di Klinik Komuniti setaraf dengan Klinik Kesihatan yang mempunyai ruang bagi menempatkan para pegawai perubatan serta farmasi.

Jelasnya, ini adalah kerana sebelum ini Klinik 1Malaysia cuma menyediakan perkhidmatan rawatan asas kepada para pesakit.

“Dalam pada itu, klinik yang tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya 50 pesakit dalam tempoh sehari akan ditutup.

“Sebagai rumusan, kita juga akan mengkaji semula operasi klinik berkenaan mengikut lokasi dan keberkesanan perkhidmatannya,” katanya. — DayakDaily