PADAWAN, 7 April: Satu sindiket judi dalam talian (online) berjaya ditumpaskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dalam satu operasi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata kegiatan mereka berjaya dibongkarkan selepas satu serbuan dilakukan ke atas sebuah apartment di Jalan Stapok, Kuching.
Jelas beliau, serbuan sekitar jam 9 malam itu mendapati premis terbabit disewa dan dijadikan ‘call centre’.
“Hasil serbuan mendapati satu unit apartment tersebut dijadikan pusat judi (call centre) kegiatan judi dalam talian yang beroperasi 24 jam.
“Sindiket dipercayai telah beroperasi dilokasi tersebut lebih kurang beberapa bulan dengan keuntungan kasar mencecah sehingga RM4,000 sehari dan RM120,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lim memberitahu dua lelaki dan seorang wanita yang masing-masingnya berasal dari Indonesia dipercayai operator di premis tersebut juga ditangkap.
Difahamkan setiap operator diberikan gaji antara RM2,000 sebulan.
“Setiap operator dibekalkan sindiket ini dengan telefon pintar dan komputer riba untuk urusan melibatkan pasaran atau pelangan tempatan,” katanya.
Turut ditangkap ialah dua lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 23 tahun untuk siasatan lanjut.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah 2 komputer riba, 3 telefon pintar, tetikus dan modem. — DayakDaily