Polis trafik tidak hantar saman melalui e-mel

Dato Mohd Azman Ahmad Sapri (file pic)
Advertisement

KUCHING, 18 Okt: Polis Kontinjen Sarawak menegaskan pihaknya melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) tidak pernah mengeluarkan apa-apa berkaitan notis saman lalu lintas melalui e-mel.

Demikian menurut Pesuruhjaya Polis Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri yang memohon agar orang ramai berhati-hati dan tidak terpedaya dengan helah sindiket penipuan tersebut.

Katanya, sehingga kini didapati sindiket tersebut telah menghantar e-mel notis saman tersebut secara meluas untuk memperdaya orang ramai.

Advertisement

“E-mel tersebut memaparkan notifikasi notifikasi bahawa pemilik e-mel memiliki saman di bawah kesalahan lalu lintas yang tertunggak dan perlu dijelaskan segera.

“Pemilik e-mel seterusnya diminta membayar sejumlah wang secara dalam talian atau melalui pautan disediakan.

“JSPT Sarawak menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengemukakan sebarang notis saman dan juga penyelesaian saman melalui platform e-mel kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Orang ramai adalah dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak membuka sebarang e-mel yang diterima daripada orang tidak dikenali, serta membuat pengesahan dengan pihak berwajib terlebih dahulu. — DayakDaily

Advertisement