Polis temui dan rampas pistol angin yang disembunyikan atas siling pangsapuri

Pistol angin yang ditemui dan dirampas daripada suspek.

KUCHING, Jan 25: Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak semalam berjaya menemui dan merampas sepucuk pistol angin yang disembunyikan di atas siling sebuah pangsapuri di Riveria Bay di sini selepas dipercayai digunakan oleh seorang suspek dalam beberapa siri kes rompakan pada hujung tahun lalu dan awal tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kejayaan itu hasil siasatan serta maklumat yang diberikan oleh suspek berusia 26 tahun yang telah membawa sepasukan polis ke sebuah pangsapuri yang disewanya di Riveria Bay, Kota Samarahan.

Menurut beliau, hasil siasatan juga mendapati suspek yang berasal dari Melaka itu terlibat dalam kes rompakan bersenjata di sebuah pejabat gereja di Jalan Tun Abang Haji Openg pada Dis 10 lalu.


“Pada Dis 18 pula, suspek sama turut terlibat dalam kes pecah rumah di sebuah kawasan perumahan di Riveria Bay, Kota Samarahan.

“Hasil siasatan juga mendapati lelaki sama telah memecah masuk ke dalam sebuah tadika di Sin Hai Min Garden, Stutong di sini pada Jan 4 lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dev memberitahu, suspek ditahan di sebuah pusat membeli belah di bandar raya ini pada 12.55 tengah hari pada Jan 11 lalu.

Katanya, siasatan mendapati suspek turut mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu melakukan rompakan bersenjata di Melaka.

“Buat masa ini, suspek masih ditahan reman sehingga Jan 29 depan untuk siasatan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily