Polis tangkap pemuda pencuri komponen penghawa dingin

Suspek ditangkap anggota JKP Miri sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Brad Rantayy

MIRI, 29 Okt: Intipan Unit Rondaan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Majlis Bandaraya Miri selama dua bulan membuahkan hasil, apabila berjaya menemui 10 komponen penghawa dingin dipercayai dicuri di atas bumbung bangunan kedai awal pagi Khamis (29 Okt).

Turut ditahan, seorang lelaki yang sedang meleraikan komponen tersebut.


Menurut Ketua JKP Miri Malateh Mahmud, tangkapan dilakukan sekitar jam 2 pagi.

“Anggota unit rondaan JKP Miri telah melakukan intipan di bangunan kedai di kawasan Boulevard Commercial Centre, Pujut selama dua bulan sebelum melakukan tangkapan itu awal pagi tadi,” ujarnya.

Beliau menambah, setibanya anggota unit rondaan JKP Miri di lokasi, suspek tersebut sedang memotong wayar dan meleraikan komponen penghawa dingin.

“Lelaki itu kemudiannya di bawa turun sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.—DayakDaily