Polis tahan seorang pemandu mabuk dalam Ops Mabuk

Kelihatan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching sedang melakukan pemeriksaan ketika Ops Mabuk di Jalan Tabuan.

KUCHING, 20 Mei: Seorang lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Mabuk yang diadakan di Jalan Tabuan, dekat sini awal malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas lelaki tersebut menggunakan alat EBA.

“Pemeriksaan menggunakan alat EBA, ke atas lelaki terbabit yang berusia 30 tahun mendapati kandungan alkohol dalam badan lelaki tersebut adalah 116mg/100ml iaitu melebihi had yang telah ditetapkan.


“Lelaki tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih Rm30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Merbin berkata, masih individu yang dikesan memandu kenderaan dibawah pengaruh alkohol walaupun terdapat larangan ‘dine in’ di restoran, kedai makan, bistro, cafe, dan gerai makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Justeru katanya, pihak polis akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi membendung gejala pemandu mabuk dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di daerah Kuching.

Tambah Merbin, sebanyak sebanyak 51 buah kenderaan dan 64 orang telah diperiksa dalam operasi yang dilakukan bermula jam 9.30 malam tadi.

Jelasnya, sebanyak 16 saman turut dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching melibatkan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan tersebut ialah tidak pakai tali pinggang keledar, nombor pendaftaran kenderaan tidak ikut peraturan, gagal menunjukkan lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, lampu brek ketiga tidak berfungsi, ubahsuai ekzos, hon tidak berfungsi dan tiada cermin sisi,” katanya. — DayakDaily