Polis tahan penganggur miliki dadah

Gambar komposit menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang penganggur.

KUCHING, Ogos 4: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memiliki dadah dalam satu serbuan di Kampung Tupong Batu, di sini lewat petang semalam.

Sebelum serbuan itu, lelaki berusia 25 tahun yang juga seorang penganggur ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak
di hadapan sebuah pasar raya Jalan Tun Ahmad Adruce di sini pada pukul 4.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abdul Latif berkata, hasil daripada pemeriksaan badan yang dijalankan terhadap suspek tidak menjumpai sebarang kesalahan dadah.


Jelasnya, setelah soal siasat dilakukan kepada suspek telah mengaku ada menyimpan dadah jenis ganja di rumahnya.

“Pada hari yang sama kira-kira pukul 6.30 petang dengan dipandu arah oleh suspek telah membawa pasukan serbuan ke sebuah rumah di Kampung Tupong Batu.

“Apabila tiba di rumah tersebut, suspek dengan sendirinya telah mengambil satu ketulan mampat dedaun kering bersalut plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja dari bawah tilam dalam bilik-berat kasar 105 gram,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, polis turut menemui satu ketulan mampat dedaun kering bersalut plastik hitam dan plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja diambil dari atas siling tingkat bawah berhampiran dengan dapur seberat 770 gram.

Katanya, polis juga menemui satu beg silang warna hitam jenama Levi’s dari lantai bilik tidur saspek didalamnya mengandungi lapan paket dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dengan berat kasar 26 gram.

“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran bermula pada pertengahan tahun 2017.

“Ujian kencing yang dilakukan terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah. Nilai rampasan dadah daripada suspek dianggarkan sebanyak RM18,020,”‘ ujarnya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. — DayakDaily