Polis tahan lelaki mengamuk tendang pintu rumah isteri

Suspek (dua dari kanan) ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 16 Jan: Seorang lelaki berang lalu bertindak menendang pintu rumah isterinya selepas tidak dibenarkan membawa dua anaknya keluar semalam.

Susulan kejadian, suspek telah ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut.


Difahamkan dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam itu di sebuah rumah di Kampung Pasir Lutong, suspek dikatakan telah datang ke rumah isterinya dalam keadaan mabuk.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, setibanya di runah tersebut, suspek telah menyatakan hasratnya untuk membawa kedua-dua anak mereka berusia enam dan lima tahun keluar, namun si isteri tidak membenarkan.

Tangkapan dilakukan pada awal pagi tadi (Ahad) sekitar jam 5.45 di Tudan Desaras.

Dipercayai si suami telah “naik minyak’ lalu bertindak menendang pintu utama rumah mangsa sebelum beredar.

Hasil siasatan mendapati, suspek dan mangsa telah tidak tinggal sebumbung sejak Mei 2020.

Kedua-dua anak mereka dibawah jagaan si isteri. — DayakDaily