SERIAN, Ogos 6: Pihak polis memandang serius tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menularkan berita kononnya ada kes cubaan penculikan kanak-kanak dan penjualan organ di daerah Serian.
Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, berita tersebut ditularkan melalui media sosial seperti Facebook dan juga aplikasi WhatsApp.
Tegasnya, pihak polis turut menafikan ada berlakunya kes seperti itu di daerah Serian dan tiada laporan polis diterima setakat ini mengenai kejadian cubaan culik kanak-kanak.
“Kita (polis) telah memanggil seorang pengguna Facebook berumur 20 tahun yang telah memuatnaik status berita tersebut ke akaun Facebooknya.
“Namun, dia mendakwa hanya membuat “copy paste” dari akaun Facebook sepupunya tanpa mengetahui yang berita tersebut benar atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Aswandy menambah, pihak polis juga mengingatkan supaya orang ramai tidak mudah percaya dengan berita tidak benar yang ditularkan di dalam media sosial.
“Orang ramai sepatutnya mendapatkan pengesahan dari pihak berkuasa sama ada berita tersebut benar atau tidak sebelum memuatnaik status dalam media sosial,” ujarnya lagi. — DayakDaily