Gempar jumpa mayat lelaki pakai seluar pendek

Anggota bomba membantu pihak polis mengangkat mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Sebiew, Bintulu.

BINTULU, Ogos 6: Penduduk yang menetap di kawasan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang terapung di Sungai Sebiew dekat sini hari ini.

Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identitinya dijumpai terapung di tebing sungai berkenaan oleh orang awam pada pukul 6.50 pagi.

Menurut sumber, panik dengan penemuan mayat lelaki yang hanya memakai seluar pendek itu, orang awam kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, SUPT Zulkipli Suhaili berkata, mayat lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditemui tanpa ada dokumen pengenalan diri.

Kata Zulkipli, pihaknya turut mendapatkan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu untuk mengangkat mayat berkenaan.

“Anggota polis yang melakukan pemeriksaan percaya mayat yang ditemui itu telah mati beberapa hari lalu.

“Polis turut meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran sebagai usaha mengesan identiti mangsa,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkipli memberitahu, mayat lelaki berkenaan telah dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

“Buat masa ini kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sehingga kita menerima laporan bedah siasat ke atas mayat mangsa,” ujarnya lagi. — DayakDaily