Anggota tentera 1 Divisyen derma darah untuk Tabung Darah HUS

Toh (tiga dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada Dr Wong.

KOTA SAMARAHAN, Ogos 6: Seramai 25 pegawai, 200 anggota lain-lain pangkat (LLP) dan ahli Bakat di bawah naungan 1 Divisyen telah turut serta dalam Program Derma Darah Peringkat 1 Divisyen yang dianjurkan sempena Hari Ulang Tahun 1 Divisyen ke-52 bertempat di Dewan Serbaguna Kem Muara Tuang di sini hari ini.

Program Derma Darah ini adalah usaha sama diantara 1 Divisyen dengan Unit Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi membantu menampung keperluan bekalan tabung darah hospital tersebut.

Program ini diserikan dengan kehadiran Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Toh Choon Siang yang telah menyerahkan beg darah kepada Pakar Perubatan Transfusi, Unit Transfusi dan Bank Darah HUS, Dr Wong Yi Shen sebagai simbolik sumbangan bakti warga 1 Divisyen kepada Unit Tabung Darah HUS.


Dalam ucapan ringkasnya, Toh memberitahu, program seumpamanya adalah satu program komuniti yang dilaksanakan oleh pihak tentera bagi membantu masyarakat selain melaksanakan operasi dan latihan ketenteraan.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihak tentera sentiasa bersedia untuk memberi bantuan kepada HUS yang memerlukan bantuan darah pada bila-bila masa yang diperlukan.

“Ini adalah tanggungjawab sosial yang dapat disumbangkan oleh anggota tentera, darah yang didermakan ini sekali gus dapat meningkatkan bekalan darah di hospital itu.

“Aktiviti tersebut juga merupakan usaha murni yang bukan sahaja dapat membantu mereka yang memerlukan darah bahkan ia merupakan satu ibadat,” katanya hari ini.

Toh menambah, menerusi aktiviti sama juga, anggota tentera dapat menjalani pemeriksaan kesihatan.

Kempen derma darah yang bermula pada pukul 8 pagi hingga 2 petang hari ini berjaya mengumpul sebanyak 62 beg darah.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Panglima 3 Briged, Brigadier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin serta pegawai-pegawai kanan di bawah naungan 1 Divisyen. — DayakDaily