Polis Serian cekup dua lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah

Dadah yang dirampas oleh polis.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Mei 12: Polis Serian berjaya menahan dua lelaki selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di kaki lima di Pasar Serian di sini petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu, polis berjaya menahan dua lelaki masing-masing berusia 32 dan 20 tahun.


Ketua Polis Daerah Serian, Dsp Aswandy Anis berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, polis telah menjumpai satu kotak rokok jenama Era warna putih berpenutup merah di poket sebelah kiri seluar pendek sukan warna kelabu yang dipakai oleh salah seorang suspek.

Katanya, apabila diperiksa di dalamnya mengandungi lima paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine.

“Anggaran berat keseluruhan rampasan adalah kira-kira 5.68 gms.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa balik ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian untuk siasatan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Aswandy menambah, ujian air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

Jelasnya, kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di sekitar kawasan Serian.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM800 dan kedua-dua suspek ditahan di Lokap Balai Polis Serian untuk siasatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. — DayakDaily