This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 19 Sept: Polis Sarawak berjaya menumpaskan Geng Dedek dengan tertangkapnya tiga suspek lelaki tempatan berumur lingkungan 27 hingga 43 tahun pada 15 Sept lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, dengan kejayaan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan enam kes samun, satu kes curi motosikal dan satu kes curi dalam bangunan.
“Modes operandi yang digunakan kumpulan ini ialah mengacukan pisau pemotong daging untuk menakutkan mangsa, memakai topi kalendar dan pelitup muka bagi melindungi identiti.
“Sasaran kumpulan ini adalah premis yang beroperasi 24 jam,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.
Tambah Mohd Azman, pada 14 Sept lepas lebih kurang jam 11.40 malam, satu kejadian samun berlaku di RA Mart di Tabuan Jaya.
Katanya, mangsa adalah seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai juruwang telah di samun oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali menggunakan pisau pemotong daging.
“Bertindak atas maklumat, pada 15 Sept, pihak polis telah berjaya menangkap tiga suspek lelaki tempatan.
“Dua daripada suspek masing-masing mempunyai 13 dan 15 rekod jenayah melibatkan kes dadah, Jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.
“Kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine” kata Mohd Azman.
Dalam pada itu, kesemua suspek direman mulai 16 hingga 21 Sept dan kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan juga sebatan. — DayakDaily