Polis Sarawak terus gempur pusat perjudian haram

Pelbagai peralatan judi termasuk wang tunai yang dirampas polis.

KUCHING, Dis 18: Polis akan terus gempur pusat perjudian haram.

Demikian tegas polis Sarawak selepas berjaya menangkap 44 kaki judi menerusi 25 serbuan berasingan yang dilakukan di seluruh negeri ini sepanjang minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, serbuan-serbuan melibatkan premis judi haram itu dilakukan di Kuching, Sibu, Miri, Padawan, Kota Samarahan, Bintulu, Serian dan Sarikei.


Menurut beliau, daripada 44 individu yang ditangkap, 34 merupakan lelaki dan selebihnya wanita iaitu termasuk enam warga asing.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 15 hingga 67 tahun.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan judi haram itu.

“Hasil serbuan sama, polis turut merampas wang tunai yang kesemuanya berjumlah hampir RM9,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis melakukan serbuan di pusat judi haram.

Mengulas lanjut, Dev memberitahu, polis turut melakukan serbuan di gelanggang sabung ayam di Miri dan berjaya menahan tujuh individu bersama ayam-ayam sabung.

Jelas beliau, kesemua yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan 1962,” katanya.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa terkilan kerana masih terdapat golongan remaja dan warga emas yang tidak gentar dengan pihak berkuasa dengan melibatkan diri dalam aktiviti haram tersebut.

“Namun, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka bagi memastikan kegiatan perjudian haram dapat dihapuskan sepenuhnya.

“Kesemua Ketua Polis Daerah telah diarahkan untuk memastikan kawasan mereka bebas daripada sebarang kegiatan perjudian haram,” katanya lagi. — DayakDaily