Polis Sarawak terus banteras pertaruhan babitkan Piala Dunia 2018

Polis menahan suspek selepas disyaki terlibat dalam pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2018.

KUCHING, Jun 23: Polis Sarawak terus melakukan serbuan di premis-premis yang menyediakan pertaruhan membabitkan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018.

Serbuan berasingan itu telah dilakukan di Kota Sentosa, Padawan, Desa Ilmu, Penrissen, Kota Samarahan dan Ulu Lanang Sibu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, menerusi serbuan terbaru yang dilakukan pada Jun 20 hingga 21 lalu, pasukan polis berjaya menahan tiga individu yang disyaki terlibat dalam pertaruhan perlawanan bola sepak itu.


Jelasnya, dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan tersebut berusia antara 22 hingga 45 tahun.

“Tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek dibuat susulan maklumat awam dan risikan polis yang dijalanka.

“Dalam serbuan tersebut, polis telah merampas wang tunai sebanyak RM438 disyaki hasil pertaruhan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Leong memberitahu, polis juga merampas kertas pertaruhan membabitkan perlawanan bola sepak itu.

Ujarnya, suspek telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya lagi. — DayakDaily