Polis Sarawak telus dalam meluluskan permit rentas daerah

Datuk Aidi Ismail

KUCHING, 7 Mei: Polis Sarawak menegaskan pihaknya tidak akan mengeluarkan permit rentas daerah kepada mana-mana ahli parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) yang beralasankan untuk menghulurkan bantuan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata penghantaran bantuan boleh dibuat melalui Pejabat Residen untuk diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berkenaan.

“Mana-mana ahli parti atau NGO yang dengan alasan menghulurkan bantuan adalah tidak termasuk dalam tugas rasmi.


“Mereka yang ingin menyumbangkan bantuan boleh diserahkan terus ke Pejabat Residen Bahagian untuk diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Bahagian yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Susulan itu, beliau menyangkal dakwaan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak di bawah Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang menyatakan hanya ‘YB GPS’ sahaja bebas bergerak.

“Berbeza dengan wakil rakyat tanpa mengira parti politik, di mana mereka memang akan diberikan permit rentas daerah bagi mereka menjalankan tugas rasmi sebagai wakil rakyat.

“Oleh itu, pihak PDRM Sarawak ingin menegaskan tidak timbul isu ketidaktelusan dalam pengeluaran permit seperti yang dinyatakan,” katanya. — DayakDaily