Polis Sarawak siap-sedia hadapi PRN-12

Mazlan menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penerima.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 26 Okt: Polis kontinjen Sarawak siap sedia hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata mesyuarat mengenainya telah dijalankan termasuk persediaan dari segi keanggotaan dan aset-aset yang akan digunakan untuk PRN itu nanti.

Katanya, Polis Sarawak hanya menunggu kemas kini atau maklumat lanjut daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan pakai kelak.


“Kita memang sudah buah persediaan rapi, kerana (PRN) kali ini berbeza berbanding sebelum ini , di mana kita perlu patuh SOP yang telah ditetapkan oleh MKN dan SPR.

“Kita (polis) akan menguatkuasakan apa-apa yang berkaitan SOP itu nanti dan kepada orang ramai juga dinasihatkan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Jelasnya juga, seramai 7,000 anggota polis di seluruh negeri akan bertugas sepanjang tempoh PRN-12 itu nanti.

“Setakat ini, 7,000 anggota kita sudah bersiap sedia, termasuk juga aset-aset kita dan sekiranya tidak mencukupi, kita akan tambah,” katanya.

Mazlan terdahulunya menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada asnaf dan pesara polis di Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak.

Beliau turut memberitahu mengenai Tabung Amanah Warisan Polis untuk membantu dan menjaga pesara polis dan bekas polis di seluruh negara.

Menurutnya, terdapat lima kategori bantuan iaitu khairat kematian sebanyak RM1,500, bantuan pengerak (RM1,000), bantuan perubatan (RM5,000), bantuan pendidikan (RM3,000) dan bantuan bencana (RM10,000).

“Seramai 1,635 bekas atau pesara polis yang telah kita bantu di seluruh negara dengan peruntukkan bantuan kewangan sebanyak RM3.25 juta.

“Manakala di Sarawak, hanya 45 permohonan yang telah diluluskan dengan pembelanjaan sekitar RM97,000 dan mungkin masih ramai lagi (pesara) yang tidak mengetahui kewujudan tabung ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai tabung tersebut boleh melayari portal e-pesara.rmp.gov.my.

Program tersebut hari ini turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata. — DayakDaily