Polis Sarawak rampas dadah bernilai RM39,000

Mohd Azman menunjukkan gambar-gambar tangkapan berkaitan dadah di seluruh Negeri.

KUCHING, 12 Dis: Polis Sarawak berjaya merampas dadah bernilai RM39,000 menerusi Ops Tapis Khas mulai 6 hingga 8 Disember lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, seramai 230 lelaki dan 10 wanita dalam lingkungan umur 17 hingga 70 tahun telah ditahan dalam operasi tersebut.

Katanya, kesemua yang terlibat ditahan diatas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.


“Sebanyak 154 serbuan dan pemeriksaan telah dijalankan yang melibatkan kawasan perumahan, pot-pot aktif, perkampungan dan lain-lain tempat yang digunakan untuk mengedar dadah di seluruh Negeri.

“Sebanyak 187 kertas siasatan dibuka dalam tempoh operasi ini, dimana 10 daripadanya telah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Tambah Mohd Azman, Padawan merekodkan rampasan dadah tertinggi dengan jumlah RM20,000.

Ini diikuti Miri dengan nilai rampasan RM6,000 dan Bintulu dengan RM3,500.

“Keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 1,961 penagih dadah,” ujar Mohd Azman. — DayakDaily