Polis Sarawak pantau 56 titik panas dalam Op Selamat Sempena Hari Krismas 2019

Ramli menyempurnakan penyerahan topi keledar dan ‘goodies’ kepada salah seorang penunggang motosikal.

Oleh Chris Bishop

PADAWAN, 18 Dis: Sebanyak 56 lokasi ‘titik panas’ akan dipantau rapat pihak polis di sepanjang Op Selamat bermula 18 Disember hingga 1 Januari 2020.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Ramli Din berkata, sejumlah 850 orang pegawai dan anggota polis akan terlibat di dalam operasi tersebut yang diadakan bersempena Perayaan Hari Krismas 2019.


“Lokasi ‘titik panas’ ini adalah kawasan kerap berlaku kemalangan dan kehadiran anggota polis di lokasi-lokasi berkenaan diharap dapat mengurangkan atau meminimakan jumlah kemalangan.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar mematuhi undang-undang jalanraya dan mengikuti arahan pegawai polis yang ditempatkan di ‘titik panas’ ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai perasmian Op Selamat Sempena Perayaan Krismas 2019 di Dewan Komuniti Siburan hari ini.

Tambah beliau, pihak polis tidak berkompromi dengan kesalahan-kesalahan trafik seperti memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan sebagainya.

Katanya, semua perbuatan ini hendaklah dihindarkan agar tidak membahayakan diri sendiri dan juga penguna-pengguna jalanraya yang lain.

Majlis pelancaran Op Selamat itu turut diselitkan dengan program Hari Bersama Pelanggan sebagai usaha pihak polis untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

Menurut Ramli, hari bersama pelanggan akan diadakan setiap bulan iaitu pada setiap hari Khamis minggu kedua, bermula Januari 2020.

“Program ini akan diadakan di setiap daerah dan akan diketuai ketua polis daerah.

“Ia bertujuan untuk mendengar masalah-masalah keselamatan yang dihadapi masyarakat setempat,” katanya.

Pada majlis tersebut juga, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah membuka kaunter semakan saman dan tawaran diskaun sehingga 50 peratus. —DayakDaily.