Polis Sarawak buru 2 lelaki lari semasa rampasan dadah bernilai setengah juta di Serian

Fisol(tengah) mempamerkan dadah jenis syabu dan pil ekstasi yang dirampas pada sidang media di Kuching hari ini

Oleh: Chris Bishop

KUCHING, 29 Dis: Polis Sarawak kini sedang giat memburu 2 lelaki yang berjaya melarikan diri semasa rampasan syabu dan pil ekstasi bernilai setengah juta di Serian pada Sabtu lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh berkata kedua-duanya mungkin masih berada di Sarawak dan berkemungkinan juga
telah menyusup masuk ke Indonesia.

“Saya tak boleh katakan kedua-duanya telah melarikan diri ke Indonesia, berkemungkinan juga masih berada di sini.

“Kita sedang giat mengesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.

Selain itu tambah Fisol, pihaknya telah meminta bantuan daripada Bukit Aman untuk mengenalpasti sama ada wujud sindiket penghantaran dadah tersebut ke Indonesia.

Katanya, dalam tangkapan terdahulu, sumber dadah adalah dari Semenanjung yang dihantar ke Sarawak dengan perkhidmatan kurier.

“Kita sedang membuat risikan sama ada mereka menggunakan modus operandi yang sama, sama ada wujud sindiket di sebelah sini dan di
sebelah sana(Indonesia).

“Harga dadah di Indonesia adalah lebih tinggi dan ia diseludup masuk melalui laluan tikus di sempadan Sarawak dan Indonesia yang dipisahkan oleh ladang,’ ujar Fisol.

Pada Sabtu lepas, Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa membuat rondaan, terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di jalan tepi bukit Sungai Paoh, Serian yang mengala ke sempadan Indonesia dan memberkas seorang pemuda warga Indonesia bersama 3 kg syabu dan 19,516 pil ekstasi sekitar jam 4.petang, manakala dua lelaki yang lain berjaya melarikan diri.

Semasa kejadian, Pasukan bertindak menghampiri kereta tersebut dan nampak tiga lelaki tidak dikenali telah keluar dari kereta dan bertindak pantas melarikan diri ke dalam semak. Seorang telah ditangkap manakala dua yang lain berjaya melarikan diri.

Pemeriksaan lanjut telah menjumpai satu beg galas di tempat duduk belakang kereta tersebut yang berisi tujuh bungkusan pita berpelekat bewarna kekuningan.

Tiga daripada bungkusan itu mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar seberat 3 kg.

Manakala empat lagi bungkusan berjalur pita merah dan hijau mengandungi pil-pil disyaki pil estacy berwarna biru, coklat dan merah
jambu berjumlah 19,516 biji dengan anggaran berat 7.9 kg.

“Jumlah dadah yang dirampas adalah besar dan boleh menampung sehingga 60,000 penagih dadah dan anggaran jumlah rampasan keseluruhan adalah bernilai RM536,288,” kata Fisol. – DayakDaily.