Covid-19: 1,594 kes baharu dan 3 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 28 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,594 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,591 kes tempatan dan tiga kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 106,690 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 20,643 kes,” katanya pada satu sidang media hari ini di Putrajaya.

Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 697 kes. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 194 kes dan Johor sebanyak 191 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,181 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 85,592 kes atau 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 116 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 53 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 455 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat tiga kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan semua warganegara.

“Dua kes kematian dilaporkan di Selangor manakala satu kes dilaporkan di Sabah. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat lima kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Menara Sri melibatkan beberapa daerah di Kuala Lumpur dan Perak, Kluster Tapak Bina Jalan Gadang di Kuala Lumpur.

Kluster Bukit Pasir di daerah Muar di Johor, Kluster Pintu Geng di Kota Bahru Kelantan dan Kluster Putra 15 di Putrajaya. — DayakDaily