SRI AMAN, Mac 6: Polis mengesahkan identiti kepala wanita tanpa badan yang dijumpai di tebing Sungai Batang Lupar, Skait Lama di sini pada Sabtu lalu, adalah warga China.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, identiti mangsa berjaya dikenalpasti selepas pihak polis menangkap suami wanita tersebut pada Ahad lalu.
Jelasnya, lelaki tempatan berusia 42 tahun itu telah direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.
“Kes yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum itu telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
DayaDaily sebelum ini melaporkan seorang penduduk kampung yang dalam perjalanan pulang memancing ikan terkejut apabila menemui satu kepala manusia tanpa badan di tebing Sungai Batang Lupar, Skait Lama di sini.
Menurut sumber, penduduk kampung tersebut menjumpai bahagian kepala dipercayai wanita itu pada pukul 4.30 petang.
Katanya, terkejut dengan penemuan itu, dia terus menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Dsp. Othman Sulaiman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan bahagian kepala dipercayai wanita itu. — DayakDaily