Polis rampas 42g syabu dalam serbuan di Tudan, seorang lelaki ditahan

Dadah yang dirampas.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 19 Nov: Seorang lelaki warga tempatan ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Lorong Kiambang 6, Tudan Fasa 3 kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah awal pagi Rabu (Nov 18).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditangkap susulan penemuan kira-kira 42 gram dadah semasa serbuan dilakukan pada jam 12.30 pagi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri diketuai ASP Unang Giang.

Advertisement

“Operasi dilakukan sekitar jam 12.30 pagi dan polis berjaya menahan suspek serta merampas beberapa paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran nilai RM4,200,” ujar Lim.

Turut dirampas wang tunai berjumlah RM3,800, empat utas jam tangan mewah (Rolex, Emporio Armani, Seiko dan Rolex Daytona), sebuah penimbang elektrik bersaiz kecil dan sebuah kereta Land Cruiser berwarna putih.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily

Advertisement