Polis Padawan berkas 10 penjenayah, temui semula 78 pelbagai barangan curi

10 suspek pecah rumah dan curi motosikal diberkas polis.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Okt 16: Polis Padawan berjaya memberkas 10 penjenayah yang disyaki aktif dalam jenayah pecah rumah dan curi motosikal di kawasan Telaga Air dan Matang dalam serbuan berasingan Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 23 hingga 41 tahun.


Menurutnya, menerusi Op Pintu itu, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan oleh semua suspek dalam melakukan jenayah.

Anggota polis bersama 78 pelbagai jenis barangan curi yang ditemui semula.

“Pasukan serbuan juga menemui semula 78 jenis barangan yang dicuri oleh geng perompak berkenaan.

“Tidak cukup dengan itu, pasukan polis juga menemui serta merampas dadah jenis syabu sebanyak 12 paket dipercayai milik salah seorang suspek,” katanya di sini hari ini

Aidil menambah, semua suspek yang turut memiliki rekod kes jenayah lampau telah ditahan di lokap polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis yakin dengan tertangkapnya kesemua suspek dapat menyelesaikan kes jenayah di kawasan berkenaan.

“Semua suspek akan direman bagi membantu siasatan,” katanya. — DayakDaily