Polis mohon saksi bantu siasatan kes mati di Jalan FAC Matang

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KUCHING, 28 Ogos: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes penemuan mayat seorang lelaki di Jalan FAC Matang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata maklumat boleh disalurkan dengan terus menghubungi Pengawai Penyiasat Inspektor Mohd Nur Alif Abd Rahman di talian 017-2464933 atau penolongnya Sarjan Awang Taib Awang Bojeng ditalian 013-8168566.

Katanya, seorang lelaki dikenali sebagai Danny,34 tahun berasal dari Kapit ditemui mati di tepi jalan raya tersebut pada jam 7.30 pagi.


“Menurut siasatan awal, dipercayai mangsa yang menunggang motosikal terbabas sendiri menyebabkan dia tercampak ke semak di bahu jalan tersebut.

“Bagaimanapun Bahagian Siasatan dan penguatkuasaan Trafik IPD Padawan mohon orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian kemalangan tersebut tampil membantu polis dalam siasatan,” katanya daam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya juga, mangsa mengalami kecederaan parah di kaki serta dada dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seterusnya mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. — DayakDaily