Lantikan semula menteri dan timbalan menteri bukti Sarawak terus diiktiraf – Pemuda PBB

Gerald Rentap Jabu

KUCHING, 28 Ogos: Lantikan semula seorang menteri kanan, tiga menteri penuh dan enam timbalan menteri dalam barisan Kabinet baharu berkuatkuasa Isnin ini membuktikan Sarawak terus diiktiraf.

Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, barisan Kabinet itu akan memantapkan lagi pentadbiran negara yang fokus kepada usaha memastikan kestabilan politik.

Menurut Ketuanya Gerald Rentap Jabu, ia juga memantapkan usaha menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, demi kesejahteraan rakyat.


“Pemuda PBB menyambut baik perlantikan 10 wakil  Sarawak termasuk lapan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Terima kasih YAB Perdana Menteri, di atas kepercayaan yang diberi.

“Pemuda PBB yakin kesemua yang dilantik mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam mendepani cabaran pandemik, senario politik serta ekonomi yang kian mencabar demi kepentingan nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Gerald, Pemuda PBB percaya dengan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ serta melalui jalinan kerjasama rentas parti, kemenangan bersama dalam menangani krisis kesihatan akibat penularan pandemik akan dapat dicapai. — DayakDaily