Polis mohon bantuan kesan waris lelaki yang ditemui mati

Kad pengenalan yang dipercayai milik si mati.

BELAGA, Jan 4: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang lelaki yang ditemui mati di kawasan hutan berhampiran jalan pembalakan Long Urun-Tubau, Sungai Asap dekat sini, Selasa lalu.

Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga, ASP Mohd Sani Junid berkata, ketika ditemui, mangsa ditemui dalam keadaan tinggal rangka sahaja.

Katanya, pemeriksaan di lokasi penemuan tiada menemui sebarang dokumen pengenalan diri milik mangsa.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar mendapati terdapat satu pondok kebun berhampiran dengan rangka tersebut iaitu jarak lebih kurang dua hingga tiga meter.

“Pemeriksaan telah dibuat di sekitar pondok tersebut sebelum menjumpai satu kad pengenalan atas nama, Terang Gayut, 56, dari Rumah Batik, Nanga Mujok, Julau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelihatan rangka manusia yang ditemui.

Mengulas lanjut, Mohd Sani memberitahu, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan di kawasan penemuan.

“Rangka mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya lagi.

Sambil menambah, orang ramai yang mengenali mangsa atau mempunyai maklumat mengenai warisnya diminta berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran. — DayakDaily