Nahas tiga kenderaan, pemandu dan penumpang berdepan detik cemas

Keadaan salah satu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

KUCHING, Jan 5: Sekurang-kurangnya lima penumpang termasuk pemandu tiga buah kenderaan berdepan detik cemas apabila terlibat dalam kemalangan berhampiran Restoran Hijau di Jalan Stutong awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu melibatkan masing-masing sebuah kenderaan jenis Perodua Alza, Perodua Viva dan Toyota Innova.

Bagaimanapun, tiada sebarang laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam nahas tiga kenderaan tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2.43 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati terdapat tiga buah kenderaan terlibat dalam kemalangan.


“Pemeriksaan yang dilakukan kemudian mendapati tiada pemandu atau penumpang kenderaan berkenaan tersepit.

“Kesemua mereka berjaya keluar dari kenderaan masing-masing tanpa sebarang kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap sama menambah, kesemua mangsa yang selamat kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian bagi memastikan keadaan terkawal.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.01 pagi dengan pasukan bomba memandu semula ke balai,” katanya. — DayakDaily

Share this article!