Polis Miri temui kembali enjin sangkut yang dicuri

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut. Turut ditemui, enjin sangkut yang dilaporkan hilang pada pertengahan bulan ini.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 30 Dis: Sebuah enjin sangkut jenama Yamaha 30 kuasa kuda bernilai RM5,000 yang dilaporkan hilang pada pertengahan bulan ini berjaya ditemukan semula dengan penahanan dua lelaki petang semalam.

Kedua-dua suspek berusia 31 dan 51 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah(JSJ) IPD Miri sekitar jam 12.45 dan 2 petang.

Advertisement

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan pertama dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tukau Jalan Bakam, manakala suspek kedua ditahan di desa Senadin.

Salah seorang suspek (tiga dari kiri) ditahan polis. Suspek kemudiannya memandu arah pihak polis ke lokasi dia menjual enjin sangkut tersebut.

Hasil siasatan awal mendapati, suspek kedua merupakan pembeli kepada barangan tersebut.

Difahamkan, enjin sangkut berkenaan telah dilaporkan hilang dari sebuah rumah di Jalan Dato Permaisuri Desa Pujut pada 17 Disember.

Dalam kejadian, suspek telah bertindak mencabut enjin sangkut tersebut yang masih terpasang pada bot mangsa yang parkir di hadapan rumahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily

Advertisement