Polis Miri tahan warga emas disyaki menampar teman wanita

Suspek (tengah) dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 1 Jun: Seorang lelaki warga tempatan diberkas polis pada awal pagi tadi, selepas dipercayai menampar dan mengugut teman wanitanya dalam satu kejadian di sebuah kediaman di RPR Batu 6 Jalan Lutong-Pujut.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 9 malam Selasa (31 Mei), sebaik sahaja pasangan tersebut pulang dari menghadiri majlis makan malam bersama rakan-rakan mereka.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek berusia 64 tahun itu ditahan di Kampung Bakam pada tengah malam tadi oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) selepas dmaklumkan mengenai kejadian.

Suspek telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas suspek mendakwa mangsa berusia 47 tahun itu telah memburuk-burukan dirinya semasa majlis makan malam tersebut di hadapan rakan-rakan mereka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan. — DayakDaily