Oleh Brad Rantayy
MIRI, 23 Mac: Berang gara-gara isterinya menfailkan perceraian, seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun bertindak mengugut sepupu wanita tersebut menggunakan pemetik api menyerupai pistol pada petang semalam.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Pelapi, Bekenu sekitar jam 6.30 petang.
Pada awalnya, kedatangan suspek ke rumah tersebut adalah untuk bertemu dengan isterinya yang berusia 21 tahun, namun, dia menjadi berang apabila diberitahu bahawa isterinya itu tiada di situ, lalu bertindak menunjukkan satu senjata yang kelihatan seakan-akan pistol terhadap sepupu lelaki isteri suspek.
Suspek juga ada berkata bahawa dia akan datang semula ke rumah tersebut untuk mencari isterinya.
Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat pengadu, kerana bimbang akan keselamatannya dan keluarga.
Bertindak dari laporan tersebut, kurang enam jam selepas kejadian, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah menahan suspek di sebuah bilik sewa di Desa Indah 3, Bandar Baru Permyjaya untuk siasatan.
Suspek ditahan sekitar jam 10.30 malam Isnin.
Hasil pemeriksaan beg suspek telah menjumpai sepucuk pemetik api menyerupai pistol di dalamnya.
Difahamkan suspek dan isterinya dalam proses penceraian dan mereka sudah tidak tinggal bersama sejak tiga minggu yang lalu.
Pasangan tersebut telah dua tahun berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960. — DayakDaily