Polis Miri tahan lelaki warga asing disyaki pecah masuk rumah

Suspek pecah rumah (dua dari kiri) ditahan JSJ Miri tengahari tadi (Selasa).

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Brad Rantayy

MIRI, 23 Mac: Seorang lelaki warga asing negara Indonesia disyaki terlibat dalam memecah masuk sebuah rumah di Lorong Friendship 5 minggu lalu, ditahan pihak polis tengahari tadi untuk siasatan lanjut.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) sekitar jam 1.20 tengahari tadi di sebuah rumah di Jalan Desa Seri 6 dalam satu operasi dinamakan Ops Pintu.


Semasa tangkapan, JSJ Miri turut menemui dan merampas dua unit komputer riba jenama Lenovo, dua unit adaptor jenama Lenovo dan dua unit tetikus jenama Vander Life dari suspek disyaki dicuri.

Dalam kejadian pada 15 Mac itu, sebanyak 14 unit komputer riba jenis Lenovo T430U, senunit Aircooler; sebuah televisyen berukuran 40 inci dan seunit projektor jenama Epson dilaporkan telah hilang disyaki dicuri.

Anggaran kerugian adalah sebanyak RM30,000.

Dua unit komputer riba ditemui dan dirampas pihak polis.

Kejadian disedari seorang juruteknik berusia 27 tahun, yang kebetulan baru sahaja tiba di rumah tersebut dari Kuching atas urusan kerja.

Difahamkan, sebaik pengadu tiba di rumah tersebut, sekitar jam 11.30 pagi pada 15 Mac, beliau mendapati mangga pagar telah tiada dan mangga yang digunakan untuk mengunci pintu dapur rumah turut tiada.

Rumah tersebut adalah milik majikan pengadu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. — DayakDaily