Polis Miri rampas 1.01kg syabu bernilai RM40,000 dari dua penghantar makanan

Dadah bernilai RM40,000 seberat 1.01kg yang dirampas dari dua penghantar makanan petang semalam (19 Ogos 2020).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 20 Ogos: Polis menahan dua lelaki tempatan yang bekerja sebagai penghantar makanan bersama lima paket dadah dipercayai jenis syabu (methampthemine) dianggarkan bernilai RM40,000 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, kedua-dua suspek telah ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Miri.


“Suspek pertama ditahan pada jam 2.45 petang di hadapan sebuah resort kondominium di Jalan Tannong Lobang, sementara suspek kedua diberkas di tepi Jalan Chia Tze Chin jam 4 petang selepas dipandu arah suspek pertama,” ujar Lim.

Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

Hasil pemeriksaan, polis menjumpai lima paket plastik lutsinar berisi ketul-ketulan kristal disyaki syabu dianggarkan dengan berat 1.01kg.

“Polis turut merampas tiga botol termos yang berwarna hitam dan dua termos berwarna merah dari kedua-dua suspek,” jelas Lim.

Kedua-dua suspek telah ditahan sementara di BSJN Miri sementara menunggu untuk direman esok.

Kes disisaat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily