Polis Miri berjaya selesai enam kes curi kabel selepas menahan lima suspek

Tiga suspek disyaki terlibat dalam kegiatan merobek wayar tembaga di sepanjang Jalan Pan Borneo Miri-Bintulu berdekatan Simpang Marudi dicekup polis untuk siasatan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 8 Sept: Polis Daerah Miri berjaya menyelesaikan enam kes curi kabel di sekitar pembinaan Jalan Pan Borneo di sini dengan anggaran kerugian RM750,700, susulan penahanan lima suspek termasuk seorang wanita, kelmarin (7 Sep).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 56 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan sepasukan polis.


Tiga daripada lima suspek berkenaan ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri diketuai Inspektor Fredly Juing dalam satu operasi dinamakan Ops Lusuh di dua lokasi berasingan di KM12 Bakam, sekitar jam 8.02 pagi semalam.

“Suspek ditahan di lokasi berasingan dalam tempoh 24 jam dan hasil siasatan lanjut, dua suspek lelaki mempunyai sekurang kurang empat rekod jenayaha termasuk dadah,” ujar Lim ketika ditemui dalam satu sidang media hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati tiga suspek lelaki yang berusia 21, 24 dan 27 tahun giat aktif mengambil tembaga dari kabel elektrik di kawasan pembinaan Jalan Pan Borneo, Miri-Bintulu berhampiran simpang masuk ke Marudi sejak hujung tahun lepas (2019) dan yang terkini adalah pada 5 Ogos tahun ini.

Manakala, suspek wanita dan rakannya berusia 54 tahun disyaki pembeli barangan curi yang dijual oleh tiga suspek lelaki tersebut ditangkap di dua lokasi berbeza iaitu di Taman Tunku dan kawasan perindustrian Permyjaya sekitar jam 2.35 hingga 4.15 petang semalam.

Antara barang kes dirampas ialah peralatan mengupas kabel; tiga bilah parang; satu unit gergaji besi; satu unit alat penarik kabel dan segulung wayar tembaga anggaran berat 3.5 kilogram.

Menurut Lim, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Tangkapan ke atas kelima-lima suspek dilakukan ekoran satu laporan dibuat kontraktor Pan Borneo, Jalan Miri-Bintulu, berdekatan Simpang Marudi tentang kehilangan wayar tembaga di lokasi pembinaan pada pagi Sabtu (5 Sept) sekitar jam 9.

“Pengadu bersama rakan sekerjanya telah membuat pemeriksaan untuk persediaan ujian tekanan di lokasi tersebut tetapi telah mendapati kabel sepanjang 12 meter (240mm) telah hilang disyaki dicuri,” jelas Lim.

Anggaran kerugian ialah sebanyak RM7,200. — DayakDaily