Polis menahan suspek dalam kes pecah masuk Pusat Khidmat DAP Miri

Suspek (berbaju biru) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 28 Okt: Polis Miri menahan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kes memecah masuk Pusat Khidmat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Miri di Krokop pada 26 Okt, tidak sampai 48 jam selepas kegiatan itu disedari.

Suspek, berusia 24 tahun itu telah ditahan sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sekitar jam 2 petang hari ini di Pujut Tanjong Batu dalam satu serbuan.


Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas sebuah alat sistem audio dipercayai barangan curi dari lokasi kejadian.

Pada 26 Okt, Pejabat Khidmat DAP telah dilaporkan diceroboh dan beberapa barangan hilang termasuk wang tunai berjumlah RM20.

Kejadian disedari Ketua Pemuda DAP Miri Peter Hii sekitar jam 10 pagi.

Satu laporan polis telah dibuat oleh Hii pada hari yang sama. — DayakDaily